
Mundar mandir Ayuni di hadapan katil di dalam biliknya. Sekejap dia duduk di birai katil, dalam beberapa saat kemudian dia kembali berdiri pula. Sejak semalam dia telah berfikir semasak-masaknya dan telah mengambil satu keputusan. Namun, mengapa dirinya masih ragu-ragu untuk melaksanakan keputusannya itu. Ayuni mula keliru, punggungnya dihenyakkan di birai katil. Geram dengan dirinya sendiri kerana tiada ketetapan di dada. Mana pergi kekuatan dirinya selama ini. Mengapa dia perlu gentar setiap kali melibatkan lelaki itu?
Dengan satu tekad Ayuni pantas berdiri dan mencapai beg pakaiannya yang berada di penjuru katil. Sebaik jemarinya di letakkan di tonggol pintu, Ayuni dikejutkan dengan ketukan yang kuat di luar muka pintu biliknya. Dia mengurut dadanya perlahan. 'Kus semangat. Ketuk macam nak roboh pintu.' Rungut Ayuni geram. Malah ketika Ayuni membuka pintu tangan Danial mengetuk pintu itu lagi. Ayuni memandang Danial tajam.
"Awak tak buat sarapan untuk saya ke?" Danial terus mengajukan pertanyaan.
"Tak..."
"Awak tahu kan saya nak masuk ofis."
"Tak tahu." jawab Ayuni bersahaja.
"Kenapa dengan awak ni... pagi-pagi dah buat hal," rungut Danial.
Ayuni hanya bersikap bersahaja.
"Takkan sebab hal semalam awak buat perangai. Saya sibuk sangat semalam, bukan saya sengaja," kata Danial seperti sudah menduga mengapa Ayuni buat perangai pagi ni.
"Whatever," Ayuni tetap berlagak selamba. Seolah jawapan Danial itu hanya satu alasan sahaja.
Danial terpandang beg pakaian di tangan Ayuni. “Awak nak ke mana pulak dengan beg ni?” tanya Danial sebaik terpandang beg yang berada di sisi Ayuni. Wajahnya penuh dengan tanda tanya.
“Ikut suka hati saya la nak ke mana pun,” jawab Ayuni mengalih pandangannya ke arah lain.
Namun, jawapan Ayuni itu mengundang rasa geram di hati Danial.
“Awak jangan cari pasal pagi-pagi ni,” balas Danial. Riak ketegangan terbias di raut wajahnya.
“Siapa yang cari pasal, saya ke awak?” soal Ayuni memberanikan diri melawan pandangan Danial.
Pandangan Danial tajam menikam sepasang mata Ayuni. Bicara kaku seketika. Danial seolah sedang memendam rasa marah di dada. Manakala Ayuni ingin menyemarakkan lagi keadaan yang semakin tegang antara mereka.
“Awak jangan ingat boleh ke mana,” kata Danial memecah kebisuan antara mereka. Dan ketika itu juga dia menarik beg di tangan Ayuni lalu di lempar ke tepi.
“Hey! Kenapa dengan awak ni. Suka hati campak beg orang!” tengking Ayuni.
Bertambah marah Ayuni apabila Danial menarik tangannya kasar.
“Awak nak bawa saya ke mana ni? Boleh tak awak lepaskan tangan saya!” Marah Ayuni sambil menarik tangannya dari genggaman Danial. Tetapi hampa, cengkaman Danial terlalu kejap di pergelangan tangannya.
Namun, Danial hanya membisu. Tangannya tidak melepaskan tangan Ayuni sehingga mereka sampai di tempat parking.
“Masuk!” arah Danial.
“Tak nak!” Ayuni berpeluk tubuh. Tidak mempedulikan kata Danial itu.
Danial Haikal berdengus. Semakin menipis kesabaran Danial dengan perangai degil Ayuni.
“Ayuni tolong masuk dalam kereta sekarang. Awak jangan buat saya hilang sabar,” kata Danial Haikal. Suaranya kedengaran seperti ditahan-tahan menahan geram.
“Awak tak faham ke saya cakap tak nak! Tak nak la!” jawab Ayuni masih berkeras.
Mencerlung mata Danial memandang Ayuni geram.
“Baik! Saya suruh elok-elok awak tak mahu ikut,” sebaik menyudahkan kata-katanya. Danial menghampiri Ayuni dan membuka pintu kereta luas-luas. Manakala Ayuni yang menyedari tindakan Danial itu cuba untuk melepaskan diri dari pegangan Danial di bahunya. Tetapi gagal. Ayuni terduduk di tempat duduk penumpang. Bunyi dentuman kuat pintu kereta menyentakkan Ayuni. Kecut perut pula Ayuni dibuatnya. Sudahnya dia hanya membatukan diri di tempat duduk.

Danial Haikal memberhentikan kereta di hadapan sebuah restoran. Sebaik mematikan enjin kereta dia beralih pandang ke arah Ayuni yang membatukan diri sedari tadi. Ayuni sedikit pun tidak memandang Danial.
“Jom kita sarapan dulu,” ajak Danial. Suaranya sudah kembali kendur. Malas memanjangkan pertegangan antara dia dan Ayuni.
“Awak pergilah, saya tak nak,” jawab Ayuni tegas.
“Awak boleh tak jangan berperangai macam budak-budak,” balas Danial Haikal.
Kata-kata itu menambahkan sakit hati Ayuni. Pantas dia berpaling memandang Danial yang beriak bersahaja itu. Ayuni mengetap bibir menahan rasa geram di hati.
“Awak tu macam orang dewasa sangatlah. Pandai berjanji tapi tak reti nak tunaikan janji. Kalau tak mampu nak kotakan baik jangan berjanji,” sinis kata-kata Ayuni membalas. Dia berpaling memandang Danial.
Danial Haikal mengeluh.
"Saya betul-betul sibuk."

"Takkan hari-hari sibuk. Saya tak minta banyak masa dengan awak. Atau awak memang ada niat nak kurung saya dalam rumah awak tu? Awak nak balas dendam kan? Awak sengaja nak seksa saya kan? Sampai bila? Sampai mati?!!" Hambur Ayuni lagi.
"Yuni!!!" tengking Danial kuat. Terhenjut tubuh Ayuni dek terkejut dengan tengkingan itu. Mata Danial yang tajam menikam ke anak matanya membuatkan Ayuni terkedu. Tidak sanggup bertentang mata dengan renungan tajam Danial, Ayuni tertunduk resah. Dia tahu Danial begitu marah dengan kata-katanya tadi.
"Jangan bercakap ikut sedap mulut saja tanpa memikirkan perasaan orang lain."
"Habis tu awak fikirkan sangat perasaan saya," balas Ayuni berani melawan pandangan Danial.
Seketika mereka hanya membisu seribu bahasa.
Kedengaran keluhan terhembus dari bibir Danial. "Saya betul-betul sibuk semalam bukannya sengaja. Boleh tak awak jangan panjangkan perkara ni Ayuni. Saya betul-betul letih. Banyak perkara yang perlu saya fikirkan. Saya janji lepas makan kita bincang," kata Danial memohon pengertian Ayuni.
Ayuni mencebik. Alasan! Habis aku ni tak payah nak fikir. Dia ingat aku tunggul. Tak ada hati dan perasaan. Tanpa Ayuni sedari, Danial sedang memerhati tingkahnya.
"Awak jangan nak terkumat kumit mengata saya. Sekarang kita pergi makan dulu lepas tu kita bincang apa yang awak nak bincang sangat tu,"
Ayuni menjeling tajam. Sikap Danial seolah apa yang hendak dibincangkan itu remeh sahaja dipandangnya.
"Jomlah, tunggu apa lagi," ajak Danial yang sudah membuka pintu kereta.
Mendengar ajakkan itu Ayuni perlahan membuka pintu kereta. Dia berpegang pada kata Danial tadi. 'Kalau dia mengelak lagi kali ni... siaplah!'
****************
"Macam mana kutipan hari ni Shah?" tanya Tuan Darus tanpa memanggungkan kepala. Dia sedang leka meneliti fail di hadapannya. Tuan Darus terkenal sebagai orang kaya lintah darat. Mudah memberi pinjaman tetapi bunga yang dikenakan pada peminjamnya terlalu tinggi. Walaupun orang kampung menyedari hal itu tetapi Tuan Darus seorang jenis yang lembut gigi dari lidah. Akhirnya orang kampung termakan pujuk juga, namun kesudahannya sehingga mati mereka terus berhutang dengan orang kaya Tuan Darus itu.
"Semua dah bayar abah... cuma Makcik Jamilah ja mintak tangguh bulan depan," beritahu Shahrul Nazim anak tunggal Tuan Darus yang ditugaskan untuk mengutip hutang daripada peminjamnya.
Tuan Darus mengangkat muka memandang anaknya.
"Dah dua bulan tertangguh, bulan ni pun tak mau bayaq lagi. Mana boleh jadi macam ni. Abah nak hang pi balik rumah Makcik Jamilah tanya kat dia betui-betui bila boleh bayaq? Kalau tak boleh geran tanah rumah dia abah cagarkan," kata Tuan Darus tegas.
"Baik abah," Shahrul Nazim hanya mengangguk menurut. Apa sahaja yang dikatakan abahnya pasti akan dituruti. Mana tidaknya, upah yang diberikan oleh Tuan Darus cukup tinggi jika hendak dibandingkan dengan kerja di luar sana. Lagipun kerja apa yang dia boleh buat dengan pendidikannya pun tidak setinggi mana. Abah juga tidak pernah bertegas dengannya. Apa yang abah pentingkan hanya duit. Sejak kecil dia sudah dimanjai dengan wang ringgit. Dan segala permintaannya abah sentiasa tunaikan.
Sebaik keluar dari bilik Tuan Darus, Shahrul Nazim terus mendapatkan sahabat baiknya, Rizal yang sedang menunggunya di luar rumahnya.
"Zal, jom ikut aku pergi rumah Makcik Jamilah," ajak Shahrul Nazim bergerak menghampiri sahabat baiknya itu.
"Nak buat apa lagi, tadi kan kita dah pergi?" tanya Rizal yang sedang bersandar santai di pintu kereta Honda Accord milik Shahrul Nazim.
"Hang jangan banyak tanyalah... ikut sajalah,"
"Okaylah..." kata Rizal hanya menurut. Lalu pintu kereta sebelah pemandu di buka.
Shahrul Nazim mengambil tempat sebelah penumpang. Seperti kebiasaan Rizal akan menjadi pemandu peribadinya. Perlahan kereta bergerak ke luar dari perkarangan rumah. Kesepian Shahrul Nazim menghairankan Rizal. Wajah sahabatnya dipandang sekilas.
"Hang ni kenapa tiba-tiba senyap pulak. Ada masalah dengan abah hang ka?" tanya Rizal pelik dengan sikap Shahrul Nazim dengan raut wajah yang keruh itu.
"Agak-agak hang kat mana Ayuni sekarang?" perlahan Shahrul Nazim bersuara meluahkan kata hatinya yang dibendung selama ini.
"Hang jangan nak ingat lagi kat Ayuni... dia dah jadi bini orang," balas Rizal mengerti perasaan sahabatnya itu.
"Bercakap memang senang Zal, tetapi hati dan perasaan susah untuk dipujuk."
Rizal hanya mampu menggeleng. Sudah berkali-kali dinasihatkan kepada sahabatnya itu supaya melupakan Ayuni Alisya, namun kata-katanya bagaikan mencurah air di daun keladi. Sedikit pun tidak berbekas di hati sahabatnya itu.
bersambung :)




9 ulasan:
ad lg x??hehe.. nk lg (2x)..
tahniah utk gee..
hatiku295 > terima kasih :) akan bersambung nanti... tunggu ya :)
salam...tahniah atas penerbitan novel KDU...best tp msih terdapat tanda tanya seperti sapekah yg tlh menyebabkan ibu bapa hanis meninggal dunia???
Anonymous> waalaikumussalam... terima kasih sudi memiliki nvl KDU... mengenai persoalan siapakah yang tlh menyebabkan ibu bapa Anis meninggal dunia ada dalam bab 49 dimana Puan Mariam menceritakan rakan kongsi papa Anis yg merancang pembunuhan itu & pembunuh itu juga sudah mendapat balasannya ada dinyatakan dlm dialog ketika Akmal sedang memujuk Anis dlm bab 49 juga. Harap Anonymous berpuas hati dgn penjelasan ini & insyaAllah segala kekurangan dlm citer KDU akan dijadikan pengajaran dimasa akan depan. Terima kasih sekali lagi dgn komen yg diberikan Gee sangat menghargainya.:)
hehehe.. best2 k.gee.. cepat2 sambung yer..=))
an > thanks an :) insyaAllah akan bersambung nanti... tunggu ya :)
yeayy! dh ada entri baru JL.. best! smbung lg cpat2 ya :)
Anor > hehe... thanks Anor akan bersambung nanti... tungguuu... ;)
best nak lagi... cepat sambung ye...
Post a Comment