Benci atau Cinta akan ditukar tajuk kepada JANGAN LAFAZKAN (tajuk sementara sblm menemui yg sesuai) Kerana salah faham kasih yang terjalin diwaktu remaja terputus ditengah jalan. Namun pertemuan yang tidak disangka antara Danial Haikal dan Nurul Ayuni Alisya telah membawa satu ikatan. Ikatan yang menyatukan dua jiwa ini tanpa sedar. Memutikkan kembali cinta di hati. Namun, terlalu sukar untuk mereka lafazkan kata yang semakin memekar di hati keduanya sehinggalah satu perpisahan kembali terjadi antara mereka.
“Ooo...begitu...” kata Ziela sambil mengangguk faham. “Kalau macam tu tahun depan kita ada kawan baru la. Boleh Danial join kumpulan kita nanti." kata Ziela ceria.
“Wey, jom kita duduk bawah pokok tu.” Cadang Ziela sambil kepala di hala ke arah sepohon pokok besar yang merimbun daunnya di tepi sungai. Kelihatan beberapa orang kanak-kanak sedang bermain di situ. Sepakat mereka setuju dengan cadangan Ziela itu. Ayuni yang berjalan beiringin di sebelah Yusri menoleh sekilas ke arah pemuda itu yang diam sedari tadi. Ayuni mendekatkan dirinya dengan Yusri.
“Yus, sepupu hang tu bisu ka?” bisik Ayuni perlahan.
“Hish, hang ni...mana ada, dia tak ada cacat celanya,” beritahu Yusri menyangkal keras sangkaan Ayuni itu. Membuntang mata Ayuni. Ingin sahaja dia menekup mulut sahabatnya itu. Mamat ni, cakap tu tak boleh nak slow sikit.
“Dah dia diam ja dari tadi. Bila Ziela tanya, hang yang tolong jawabkan.”
“Dia memang perangai macam tu...tak banyak cakap.”
“Hang ni kalau bercakap boleh slow sikit dak? Sakgi dengar kat sepupu hang tu terasa pulak dia nanti,” kata Ayuni mula kurang senang. Tajam jelingan dilemparkan pada Yusri. Manakala Yusri hanya mencebik. Ayuni mengerling ke arah pemuda itu yang tidak memberi apa-apa reaksi. Wajahnya tetap seperti tadi.
Sejak dari itu, nama Danial Haikal sering meniti di bibir pelajar-pelajar perempuan di sekolahnya. Penampilan Danial Haikal begitu berbeza sekali pada hari pertama persekolahan bermula. Rambutnya telah dipotong dan disisir rapi. Dia tampak segak dan kemas dalam pakaian seragam sekolah. Hari pertama, dia sudah menjadi tumpuan sang gadis. Danial Haikal di tempatkan sekelas dengan Yusri dalam aliran sains.
Walaupun mereka berlainan kelas kerana Ayuni dalam aliran sastera tetapi dalam aktiviti sekolah mereka sering dalam satu kumpulan. Mana mungkin dia dapat melupakan insan bernama Danial Haikal.
Tingkah perlakuannya sentiasa menjentik tanda tanya dibenak fikiran. Sorotan matanya bersahaja sesekali tajam menusuk menggetar rasa. Namun, sikap pendiamnya dan suka menyendiri menyebabkan dia sukar didekati. Sukar menyingkap rahsia yang terselindung dibalik wajah itu. Ayuni terus menatap gambar-gambar yang kebanyakkan zaman persekolahan mereka dulu.
Segaris senyuman tidak lekang di bibirnya. Masih kuat terlayar di memorinya pertama kali dia menegur jejaka intipan gadis-gadis di sekolahnya semasa mereka ditugaskan di perpustakaan bersama.
“Mama awak ikut papa awak ke oversea jugak?” tanya Ayuni membuka bicara.
Hari ini mereka pertama kali ditugaskan bersama dan sejak setengah jam yang lalu mereka hanya membisu. Sedari tadi Danial Haikal khusyuk dengan buku yang baru diambilnya di rak perpustakaan itu. Tanpa memanggungkan kepala, Danial menggeleng tanpa kata.
“Habis tu, kenapa awak tak tinggal dengan mama awak?” tanya Ayuni lagi. Danial diam seketika.
“Mama saya dah tak ada.” Sayu nada suara Danial kedengaran. Ayuni terkedu. Rasa hendak ketuk sahaja kepalanya kerana menyibuk hal peribadi orang. Kenapa aku ni macam minah penyibuk pulak?
“Maaf...saya tak tahu.” Lembut suara Ayuni seolah menyesali keterlanjurannya. Danial hanya diam. Ayuni memerhati keadaan perpustakaan yang senyap sunyi. Kelihatan beberapa orang pelajar sedang tekun mentelaah dan mencari maklumat dari buku rujukan. Ayuni bermain-main dengan pen di tangan.
“Masa di sekolah lama awak aktif dalam aktiviti ko-kurikulum?” soal Ayuni lagi memecah keheningan antara mereka. Sekali lagi Danial menggeleng tanpa mengangkat muka.
“Awak berminat tak nak join mana-mana persatuan? Selalunya sekolah kita aktif dalam pertandingan antara sekolah-sekolah. Kalau awak berminat saya boleh uruskan.” Tersenyum ceria Ayuni memberi usul. Danial Haikal mengangkat muka dan menoleh memandang Ayuni.
“Awak!” Kata Danial sambil kepala di hala ke satu arah. Ayuni turut menoleh ke arah itu. Dia terkedu bila melihat papan tanda “ZON SENYAP”. Merona wajahnya. Perlahan dia menoleh memandang Danial yang sudah tunduk menatap bukunya kembali. Muncung muka Ayuni bila menyedari lelaki itu menyindirnya. Tak apa, kau kenakan aku ya.
Ayuni mengagihkan kepada dua bahagian buku-buku yang dipulangkan oleh pelajar-pelajar untuk diletakkan kembali di rak buku. Ayuni berdehem memanggil Danial yang sedang meletakkan keratan akhbar di satu rak. Danial menoleh memandang. Ayuni hanya menunjukkan isyarat tangan ke arah buku-buku yang tersusun di hadapannya. Danial melangkah menghampiri. Ayuni menolak buku-buku yang telah disusunnya tadi kepada Danial. Dengan isyarat tangan dia menunjukkan ke arah rak-rak yang berada di belakang bilik perpustakaan itu. Danial meneliti buku-buku itu.
“Macam mana saya nak tahu buku ini diletakkan di bahagian mana?” tanya Danial.
"Sejak bila pula awak jadi bisu?" selamba Danial bertanya. Terjongket sebelah kening Ayuni. Kali ini kepalanya ditala ke satu arah. Danial turut menoleh ke arah itu. Danial terkedu. Papan tanda yang ditunjukkan pada Ayuni tadi kini ditujukan pada dirinya pula. Danial menggeleng dan segaris senyuman menghiasi wajahnya. Berkerut dahi Ayuni dengan tingkah Danial. Apa yang lucu sangat? Tadi dia jugak yang suruh aku jangan bercakap. Namun, apabila Danial kembali berpaling memandangnya.
Ayuni terpana. Senyuman itu cukup menawan terlayar di ruang matanya. Dia kaku seketika. Tanpa dipinta debaran di dada berdegup laju dari biasa. Tapi Ayuni cepat tersedar. Tidak mahu Danial tertangkap keterpesonaannya pada senyuman di raut wajah lelaki itu. Bikin malu sahaja nanti.
Peristiwa itu sekali lagi mengundang senyuman di wajah Ayuni. Dia terus menatap gambar-gambar di dalam album itu. Kali ini sekeping gambar yang mencatat memori indah antara dia dan Danial menjadi tatapan matanya. Ayuni menyentuh lembut gambar itu, seolah menggamit memori itu terlayar di ingatan. Ketika itu, sekolah mereka mengadakan persembahan teater untuk hari kebudayaan. Danial ditugaskan memegang watak Hang Tuah manakala Ayuni sebagai Tun Teja. Sepanjang sesi latihan, bermacam-macam ragam dan detik manis terpahat diingatannya. Walaupun pada mulanya agak sukar tetapi Danial memberi kerjasama yang baik dan segalanya berjalan lancar sehingga hari persembahan itu diadakan.
“Danial! Yuni! Aku nak ambil gambar korang. Yuni, hang duduk kat kerusi tu. Danial, hang berdiri sebelah Yuni.” Suara Yusri kedengaran agak tegas memberi arahan. Ayuni sudah mempamerkan wajah cemberutnya. Tetapi lain pula Danial, tetap berwajah selamba dan bersahaja.
“Wey! Yuni! cepat lah!” desak Yusri. Syafiqah yang ketika itu berada di sebelah Ayuni menguntum senyum. Beberapa kali Yusri merangkap kekasih hatinya memberi isyarat mata kepadanya supaya berbuat sesuatu. Dia tahu kawannya itu malu untuk bergambar bersama Danial.
“Pergilah Yuni... ” perlahan nada Syafiqah bersuara.
“Tak mahulah aku,”
“Kenapa pulak?”
“Tak tahu,” itu sahaja jawapan yang mampu Ayuni berikan. Dia sendiri tidak tahu mengapa dia tidak mahu bergambar dengan Danial. Perasaan malu tiba-tiba terasa menebal dalam dirinya.
“Atau hang ada hati kat dia?” usik Syafiqah. Mencerlang mata Ayuni memandang Syafiqah.
“Mana ada...hang jangan nak memandai...”
“Habis tu... kalau tak ada kenapa hang nak malu pulak? Buat macam biasa sudahlah, Yusri nak ambil gambar korang berdua untuk laporan aktiviti sekolah,” jelas Syafiqah.
“Tadi kan dah ambik. Tak cukup lagi?” kata Ayuni masih tidak mahu mengalah.
“Hang ni... kalau pasal mengelat nombor satu. Tadi kan ramai-ramai, gambar korang berdua mana ada lagi.”
“Yuni! Cepatlah!” Serentak Ayuni dan Syafiqah beralih pandang ke arah Yusri apabila mendengar suara sahabatnya itu. Berkerut dahi Ayuni sambil menggeleng perlahan pada Yusri tanda tidak mahu.
“Cepatlah Yuni...Danial dah ready tu,” kata Yusri semakin mendesak Ayuni.
Mendengar kata Yusri itu, pantas Ayuni beralih pandang ke arah tengah pentas. Danial sudah sedia berdiri di sebelah kerusi. Renungan Danial ditatap seketika sebelum dia melarikan pandangannya ke arah Yusri. Entah mengapa renungan itu sering kali mengundang rasa debaran di hatinya. Hanya Tuhan sahaja yang tahu betapa payahnya dia mengawal rasa debaran itu.
Dengan berat hati Ayuni melangkah juga ke atas pentas. Terasa malu pula bila asyik didesak oleh Yusri dan Syafiqah. Apa kata pelajar-pelajar lain pula nanti. Setiap langkahnya diiringi debaran yang semakin kuat memalu dadanya. Tidak sedikit dipandang wajah Danial. Ketika dia melabuhkan punggung di kerusi itu, tanpa disedari selendangnya melurut jatuh dari bahunya.
Pantas tangannya menyambar selendang itu dari jatuh ke lantai dan dikala itu juga Danial turut mencapai selendangnya itu. Bagaikan terkena kejutan letrik tatkala tangan mereka bersentuhan. Pantas Ayuni menarik tangannya.
Dia hanya membiarkan Danial meletakkan selendang itu di bahunya. Bagaikan ada satu tarikan pada sepasang matanya untuk menatap Danial yang terasa dekat dengannya. Lalu perlahan dia beralih pandang pada wajah itu. Dia terpana. Pandangan mereka bertaut. Tidak menduga Danial juga turut memandangnya. Apatah lagi segaris senyuman yang terukir di wajah Danial menyerlahkan lagi ketampanannya. Sukar dimengertikan gelora yang hadir di jiwanya saat itu.
Sinaran lampu kilat dari kamera menyedarkan mereka. Serentak mereka berkalih pandang ke arah datangnya sinaran itu. Tersungging senyuman di bibir Yusri dan Syafiqah. Tidak dikira lagi senyuman dan siulan nakal dari pelajar-pelajar lain yang turut menonton adegan itu. Gambar itulah yang menjadi kenangan yang cukup manis padanya. Tapi itu semua hanya tinggal kenangan kini.
Bunyi deringan telefon mengejutkan Ayuni. Lenyap segala lamunan yang terlayar di benaknya sebentar tadi. Namun, dia hanya membiarkan deringan itu berhenti dengan sendirinya. Rasanya tidak perlu untuk dia menjawab panggilan itu. Ayuni tersentak bila telefon itu berdering lagi. Tetapi dia tetap tidak berganjak dari tempat duduknya. Apabila deringan itu mati dengan sendirinya, dia menghela nafas lega.
Namun seketika cuma apabila deringan itu kembali bergema. Dengan perasaan ragu-ragu Ayuni menghampiri telefon itu. Dengan lafaz bismillah dia mengangkat ganggang telefon dan perlahan ganggang telefon di lekapkan di telinga. Dia hanya membisu mengamati suara pemanggil yang berulang kali berkata ‘hello’ dihujung talian itu.
“Ayuni Aleeya!!!” Tudia... nama penuh dia panggil. Ayuni menjauhkan gagang dari telinganya. Bingit telinganya mendengar tengkingan itu. Dia mengusap-ngusap telinganya.
“Hey! Awak nak saya pekak ke hah!”
“Habis tu... siapa suruh awak senyap aje?”
“Ini bukan rumah saya... kalau orang lain yang call saya nak jawab apa? Sebab tu saya senyap aje... lagipun awak tak pesan pun kalau ada call kena jawab, ada faham...” Talian sunyi seketika. Mungkin Danial baru tersedar dengan kebenaran dari kata-kata Ayuni itu.
“Saya tak nak menambahkan masalah awak lagi,” sambung Ayuni lagi. Sesungguhnya dia terasa hati dengan kata Danial tadi. Seketika kemudian Danial bersuara. “Awak buat apa?” “Buat apa lagi... tengah bercakap dengan awak la.”
“Awak ni... boleh tak serius sikit.” “Betul la apa yang saya jawab?” Terdengar dengusan nafas Danial di talian.
“Saya nak beritahu awak nanti ada orang hantarkan pizza untuk awak. Jangan tak buka pintu pulak.” Ayuni mencebik. Perli aku la tu. “Nasib baik awak beritahu, kalau tidak memang saya tak buka pintu tu.”
“Okay, saya ada kerja.” Belum sempat Ayuni bersuara talian telah dimatikan. Dia hanya memandang sepi gagang telefon di tangannya. Dia telah mengambil satu keputusan. Tetapi biarlah dia berbincang dengan Danial dahulu. Dia tidak mahu menyusahkan lelaki itu lagi.




17 ulasan:
nape nk tukar kpd lafazkan cintamu?
nty sme plak ngan novel aida adriani.
kalau nak tukar, i think better cri tjuk lain kowt...
ye ke...kena cari tajuk lain kalau macam tu...sbb tajuk Benci atau Cinta ni mcm biasa sangat..
aah,,benci atau cinta nih mcm biasa sgt..better pilih lain. wlau ape pun kitorang ttp skong! hehe ;)
2 la Ana...dah biasa sgt kan...tgh fikir ni tajuk apa yg sesuai...setakat ni tajuk 'jangan lafazkan' ja yg rasa sesuai dgn jln citer...apa2 pun thanks for your support.:)
Best citenye...
Akak boleh tak saya beri tajuk jgn lafazkan menjadi kaulah pelabuhan hatiku,,ekk rasa x sesuai jg..he
> Emaharuka : hehe...klu ada tajuk lain yg rasa sesuai boleh aje bagi cadangan ema...k ke k gee panggil ema...hehe
jgn lafazkan tuh pun ok juga tuh,,hehehe,,
gee.. trima ksh.. terubat dah rindu kat ayuni dan danial.. x kisah la tajuk apa pun, yg penting dpt bca ksudahan citer ni.. :)
>mama_ariana09 : hehehe...klu k gee guna tajuk tu aje...terima kasih :)
>anor.adilla : hehe...sama2 kasih...terima kasih jgk utk anor sll layan citer2 gee...;)
geee....boleh tak terbitkan buku cepat sikit...x sabar nk bace cite nie...best sgt....asyik teringat cite nie je....
geee,,,,terbitkanlah cepat...xsabar nk membacanye....
> Anonymous : terima kasih sudi layan citer ni... akan cuba masukkan n3 baru...:)
> iedaedz : terima kasih... sorry lambat upload n3 bz sejak akhir2 ni...x sempat nk menulis tp gee akan cuba masukkan n3 baru...:)
tak kiralah apa tajuknya tapi
pasti jalan ceritenya best dn
bukan ciplak org lain punnya
ceritakan gee? cepat sambung ye
tak sabar nak tau cerita selanjutnya.
hari ni..baru 1st time baca citer nie..best, menarik...nak lg...!!!!!
Anor > betul3 versi upin ipin...hehehe...terima kasih Anor sentiasa menyokong gee :) insyaAllah sdg mencari idea utk menyambungnya ;)
hani > terima kasih hani :) nantikan sambngannya ya :)
Dah elok tajuk yg lama tu...kekalkan ya!
lama tak update cerita ni...bz ke?
Post a Comment