“Yuni!!” Nada suara Danial ditinggikan. Tetapi tiada tanda-tanda Ayuni akan sedar dari tidurnya. Teragak-agak Danial ingin menyentuh lengan Ayuni tetapi dimatikan hasrat itu.
"Ayuni..." Panggil Danial lagi tetapi masih tidak bergerak tubuh itu. Danial mula menunjukkan riak geram. Tak boleh jadi ni.
“Ayuni...!!!” Dengan volume yang sehabis tinggi Danial mengeluarkan suara.
Kali ini bagai terkejut beruk Ayuni terjaga dari tidurnya. Tegak badannya dengan mata yang membuntang bulat memandang ke hadapan. Terpinga-pinga dia memandang sekeliling cemas.
“Sedar pun...bukan susah nak kejutkan orang tidur separuh mati ni.” Walaupun dalam keadaan terpinga-pinga itu, Ayuni masih dapat menangkap butiran yang terluah dari bibir makhluk di sebelahnya bersama gelak tawa yang menimbulkan rasa meluatnya. Pantas dia menoleh memandang Danial yang berlagak selamba.
“Apa awak cakap?!!”
“Saya cakap...bukan susah nak kejutkan orang tidur separuh mati macam awak ni!"
Ayuni mengetap bibir. Danial umpama semut sahaja dirasa tika ini. Mahu sahaja dia pijak-pijak sampai lumat. Biar lenyap dari muka bumi ini.
"Kenapa? Awak terasa ke?” Pertanyaan yang berbaur sindiran itu membuatkan suhu angin dalam badan Ayuni naik dengan mendadak.
“Kalau saya tidur mati pun, apa awak kisah! Awak tahu tak dah berapa hari saya tak tidur lena. Semua ni disebabkan awak tau tak!”
“Kenapa pulak saya? Jawapan yang tak boleh diterima akal. Habis tadi tu, boleh pulak awak tidur sampai tak ingat dunia. Tak tidur lena konon.” Sindir Danial bersama cebikan di bibir.
“Awak...awak ni kan...” Mencerlang mata Ayuni memandang geram dengan jari telunjuk di hala di depan Danial.
"Saya pun tak tahu kenapa dari hari pertama kita jumpa, kita asyik gaduh aje. Sekarang masalah lain pula yang muncul. Bukan masalah kecil, masalah yang memberi kesan sepanjang hidup saya. Awak cuba perangkap saya ke?”
Tersentap Ayuni mendengarnya. Tergamaknya Danial menuduhnya begitu. Tak ada sebesar zarah pun dalam hatinya nak buat begitu.
“Awak cakap baik-baik sikit! Apa sebab saya nak perangkap awak? Kalau boleh, muka awak pun saya tak ingin nak tengok. Dah perangai macam hantu lanun. Cukuplah apa yang awak buat kat saya dulu. Sudah cukup mencerminkan diri awak yang sebenarnya. Awak yang heret saya ke sini. Sekarang awak nak tuduh saya perangkap awak pulak. Awak ni betul-betul dah gila...gila tau tak!” Bentak Ayuni melepaskan rasa yang mula mencabar kesabarannya.
Kali ini sepasang mata Danial tajam menikam mata hitam Ayuni. “Wah...bukan main lagi awak kutuk saya. Kalau tak sebab Yusri desak saya. Saya pun tak ingin nak tolong awak. Kisah kita dulu boleh tak awak jangan ungkit lagi. Jangan nampak kesalahan saya saja...tapi penyebabnya dari awak sendiri.” Bidas Danial tidak mahu mengalah.
Berkerut dahi Ayuni, kata-kata Danial seperti ada maksud tersirat yang dia sendiri tidak mengerti. “Apa yang awak cakap ni? Saya betul-betul tak faham. Cuba awak berterus terang?”
“Awak tahu apa yang saya katakan. Tapi perempuan macam awak bukannya faham!” Sebaik melempiaskan kata itu, dia terus berpaling dan membuka pintu kereta.
"Macam mana saya nak faham kalau awak tak fahamkan saya." Bidas Ayuni. Dia bertambah geram dengan sikap Danial yang seolah-olah menyalahkan dirinya sejak dulu lagi. Siapa yang dikecewakan, aku atau dia. Lukanya lebih dalam. Harapan yang dimusnahkan oleh insan yang memutik benih-benih cinta di hatinya.
Kata Ayuni dibiarkan sepi tanpa jawapan. “Tunggu apa lagi, keluarlah." Tinggi nada Danial menyuruh Ayuni keluar dari kereta.
Ayuni menjeling tajam Danial yang sudah keluar dari perut kereta. Ingat aku pekak ke? Tak payah nak jerit-jerit, boleh koyak gegendang telinga aku tau tak, hantu. Namun kata-kata itu hanya bergema dalam hatinya sahaja.
Ayuni membuka pintu kereta dan melangkah keluar. Pintu kereta di tutup kuat. Berdetum bunyinya. Ayuni tidak mengendahkan pandangan tajam Danial kepadanya. Sengaja dia memandang ke arah lain, seolah-olah dia tidak berbuat apa-apa kesalahan. Apa tengok-tengok? Dia tutup pintu kuat-kuat boleh pulak.
"Beg awak tu tak reti-reti nak ambik."
Ayuni mencebik. Tak gentleman langsung. Bukan nak tolong ambilkan beg aku. Apa jenis lelaki dia ni?
Tanpa berlengah Ayuni membuka pintu di bahagian tempat duduk belakang. Sekali lagi dia menutup pintu itu dengan agak kuat sebaik mengambil begnya. Kali ini Danial tidak lagi berdiam diri.
"Awak ingat kereta ni awak yang bayar, kalau lekang pintu tu siapa nak ganti?" Keras kata Danial meluncur dari bibirnya.
"Awak tutup kuat-kuat boleh pulak." Balas Ayuni. Satu jelingan dilemparkan pada Danial.
"Saya tuannya, suka hati saya nak buat apa pun."
Danial mula mengatur langkah. Tidak betah lagi dia bertelingkah dengan Ayuni. Ada saja yang ingin mereka tengkarkan. Dia sendiri pun tidak faham, setiap kali berbicara dengan Ayuni tahap kesabarannya mula menipis. Adakah kerana peristiwa silam mengundang kemarahannya?
Ayuni diam tidak membalas. Dia tidak mempedulikan Danial yang mula mengorak langkah berlalu pergi. Eleh, ayat nak cover diri sendiri. Itu baru aku hempap pintu. Karang aku buat lakaran peta, baru padan muka. Tak pasal-pasal kena cat satu kereta. Kemudian pandangannya diliarkan ke sekeliling yang kelihatan agak suram. Sunyi sepi di segenap ruang tempat kereta itu mengundang rasa seram. Meremang bulu romanya tiba-tiba. Tanpa menunggu lama dia turut mengatur langkah pergi dari situ.
Ayuni berlari-lari anak mengekori Danial ke arah pintu lif. Dengan menjinjit beg yang boleh tahan berat menambahkan kepenatannya. Panjang helaan nafas dilepaskan sebaik masuk ke dalam perut lif. Segera beg itu diletakkan ke lantai. Ayuni menggosok-gosok tapak tangannya yang kemerahan dek cengkaman yang kuat pada tali beg itu.
Masing-masing diam membisu sambil bersandar di dinding lif. Tatkala pintu lif terbuka, Danial terus melangkah keluar. Ayuni pantas menyambar begnya dan membuntuti Danial di belakang.
Debaran mengiringi langkah Ayuni melintasi pintu-pintu rumah yang seisinya tentu sedang enak dibuai mimpi dikala ini. Dia hanya memerhati Danial mengeluarkan segugus kunci dari kocet seluar.
Terkedu Ayuni. Pantas dia bergenjak ke tepi bagi membolehkan Danial menutup pintu itu. Sebaik mengunci pintu, Danial mengadap Ayuni yang mematung di situ.
"Awak jangan man-main."
"Mana saya main-main, saya tidur bilik saya dan awak...?"
Tidak berkedip mata Ayuni. Di hati merombak rasa geram melihat riak Danial seolah ingin mempermainkannya.




4 ulasan:
napa danial ni..
bulan mengambang ke
ha, akhirnya sambung jugak...adehh penta tunggu.
eleh...
tol ker danial benci kat si ayuni???
cam x jer...
hahaha...
cepat sambung tau c:
-meraahjambuu
Post a Comment